Info Solat


Tembikai Wangi Gerik



Pengeluaran tembikai wangi Gerik (TWG) bermutu tinggi bukan saja memerlukan penjagaan rapi, tetapi faktor panas dan lembap bagi menambahkan kesuburan pokok selain buah menarik serta bermutu.


Tembikai wangi atau disebut tembikai Jepun di kalangan penduduk tempatan adalah sejenis tanaman menjalar dan memerlukan junjung. Pokok berkenaan mengambil masa 65 hari untuk dituai dengan setiap pokok mengeluarkan sebiji tembikai saja.


Bagi menguruskan penanaman tembikai di ladang, Huzaidi yang juga bapa kepada tiga anak terpaksa mengambil enam pekerja tempatan.“Ia dapat meringankan kerja menanam 2,000 pokok tembikai yang dilakukan tiga kali setahun,” katanya.Katanya, dia membelanjakan RM3,000 termasuk mengupah pekerja bagi memungut hasil.“Tembikai seberat 1.5 hingga 2 kilogram itu dijual secara borong kepada FAMA dengan harga borong RM3.80 sekilogram,” katanya.


Harga pasaran buah itu antara RM8 hingga RM10 sekilogram mengikut gred.Dia turut memasarkan hasilnya itu ke Cameron Highlands kerana mendapat permintaan tinggi beberapa peniaga buah.“Maklum balas pembeli amat positif dan mereka gemar dengan buah tembikai wangi kerana bermutu tinggi,” katanya memperoleh RM10,000 bagi setiap tuaian.Menurutnya, FAMA Perak turut mengakui buah yang dihasilkan itu bermutu tinggi hingga ramai peng­gemar mencari tembikai wangi dari Gerik.“Bagi memastikan pokok sentiasa subur dan bermutu tinggi, saya mengimport benih dari Jepun dan membuat baja bancuhan sendiri menggunakan teknik siraman air sebanyak lima kali sehari.“Sementara itu, anak pokok ditanam dalam beg plastik khas. Pokoknya dilindungi di bawah teduhan rumah pelindung hujan (RPH), tetapi memerlukan cuaca panas supaya buah dihasilkan cantik dan bermutu tinggi,” katanya.


Dia mendapat khidmat nasihat dan bantuan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Perak dan pegawai Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gerik.“Saya berpuas hati de­ngan sokongan Pengarah LPP Perak, Hamzah Bahari dan Pengurus Besar PPK Gerik, Mohd Aini Ahmad.“Meskipun memiliki ijazah dalam bidang elektrik dari UTM, saya bersyukur menjadi usahawan pertanian,” katanya.Huzaidi juga turut mengusahakan tanaman cili Kulai secara fertigasi bersebelahan tembikai wangi sejak 10 tahun lalu.Meskipun tanaman cili ini mengambil masa lapan bulan, hasilnya berbaloi kerana setiap pokok mampu menghasilkan hingga tujuh kilogram.


Menurutnya, dia membelanjakan sebanyak RM15,000 sebagai modal suntikan cili Kulai ini.Malah sehingga kini sudah memungut hasil sebanyak 6.5 metrik tan yang dijual kepada pemborong di Gerik, Lenggong dan Selama antara RM6 hingga RM8 sekilogram.Huzaidi juga menanam anggur di pintu masuk ke ladang fertigasinya sebagai penghias laman.“Saya berpegang kepada pepatah ‘berbudi kepada tanah pasti mendapat hasilnya’ dan slogan ‘pertanian adalah satu perniagaan’ kerana ia tuntutan Islam,” katanya.


Sementara itu, Pengurus Besar PPK Gerik, Mohd Aini Ahmad berkata, Huzaidi adalah antara pengusaha pertanian contoh yang memiliki semangat tinggi untuk melaksanakan projek tembikai wangi.“Huzaidi adalah pengusaha pertanian paling berjaya di Gerik dan dia antara 10 pengusaha yang kami lahirkan.“Kejayaannya menyebabkan Huzaidi kini dilantik sebagai ketua bagi program ‘mentor-mentee’.“Dia kini berkhidmat sebagai penunjuk ajar sukarela kepada tujuh peserta lain khususnya belia yang mengusahakan bidang pertanian secara fertigasi ini,” katanya.


Menurutnya, PPK Gerik mempelawa golongan belia yang berminat di bidang pertanian mengusahakan projek pertanian secara fertigasi.“Ini kerana projek ini sentiasa mendapat pasaran dan menjanjikan pulangan lumayan.“Pada tahun depan, PPK Gerik juga berhasrat membuat projek tanaman sayur-sayuran secara konvensional bagi menarik lebih ramai belia menceburi bidang ini,” katanya. x

No comments:

Post a Comment

HOT NEWS